Kehendak VS Keperluan
Masalah ini sering berlaku apabila semua kehendak dilihat sebagai keperluan. Jika tidak tahu mengawal kehendak tersebut, boleh jadi memakan diri sendiri.
Kenderaan boleh dikategorikan sebagai keperluan. Tidak salah untuk memiliki sebuah motor mahu pun kereta bagi tujuan kelangsungan perniagaan. Namun, belilah mengikut kemampuan sendiri dan cukuplah sekadar untuk memudahkan pergerakan seharian. Tidak perlu bermegah atau semata-mata untuk nampak lebih mewah dengan menukar kenderaan setiap kali ada model baru yang dikeluarkan.
Jangan dek kerana kehendak seperti ini, komitmen bulanan anda tidak mampu bayar.
Tiada Perancangan
Bila ada perancangan belanjawan memang tidak boleh berbelanja sesuka hati. Elakkan berbelanja secara spontan.
Sebagai contoh, untuk makanan harian anda belanja sebanyak RM20, sebulan boleh mencecah RM600. Tetapi jika makanan anda ada yang berjumlah RM30 atau RM50 sehari, bukankah lebih meningkat belanja anda? Itu tidak termasuk lagi untuk minyak, tol, parking dan sebagainya.
Kadang kala memang akan ada rasa terlalu terikat dengan perancangan belanjawan. Tetapi sebenarnya boleh mengelakkan masalah pokai sebelum tiba gaji seterusnya. Ramai yang kekeringan wang apabila tiba pertengahan bulan.
Jadi, perancangan kewangan ini sedikit sebanyak membantu untuk melihat aliran kewangan setiap bulan. Tapi, mesti disiplin untuk mengikut setiap perbelanjaan yang telah ditetapkan.
Rambang Mata
Terlampau mengikut nafsu sehingga apa sahaja yang dijual pasti ingin dibeli. Walaupun kadang kala barang tersebut tidak diperlukan sama sekali.
Ini juga satu tabiat yang akan menjurus kepada masalah pokai. Boleh jadi wang hanya tinggal RM100 tetapi masih sanggup menghabiskan kesemuanya demi memuaskan nafsu membeli. Rambang mata boleh mengakibatkan sikap boros. Sehingga ada barang yang sama dibeli beberapa kali dan lebih parah ada juga barang tersebut masih belum digunakan.
Jauhi tiga tabiat di atas. Jangan sampai pokai baru nak beringat!