Sewaktu menulis ini, saya pakai t-shirt “Hard Rock Cafe – London” yang dibeli oleh anak saya di UK. Sewaktu pulang dari Miri, saya pakai t-shirt jenama “Tommy Hilfiger” yang dihantar oleh anak saya dari Amerika Syarikat. T-shirt “Hard Rock Cafe – London” dibuat di United Arab Emirates, manakala t-shirt “Tommy Hilfiger” dibuat di India.
Hampir semua pengeluar pakaian berjenama di Amerika Syarikat dan Eropah mendapatkan bekalan pakaian (apparel sourcing) di luar. Pada tahun 2010, China menguasai 40% apparel sourcing Amerika Syarikat dan Eropah.
Bagaimanapun kajian McKinsey melibatkan Chief Purchasing Officer dari syarikat-syarikat pengeluar pakaian ternama di Amerika Syarikat dan Eropah mendapati 80% reponden berkata Bangladesh akan menjadi lokasi tumpuan apparel sourcing dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini diikuti oleh Vietnam (52%), Indonesia (41%) dan Cambodia (37%).
Selain itu, negara-negara Afrika juga semakin ke hadapan. Dua tahun lepas, beberapa syarikat ternama di Eropah termasuklah H&M, Primark dan Tesco, sudah mula mendapatkan bekalan dari Ethiopia dan Kenya.
Selain negara-negara ini, Mynmar, Turki, Mesir, Sri Lanka dan Tunisia adalah negara-negara yang disebutkan dalam kajian McKinsey sebagai menjadi tumpuan pembeli dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Walaupun kemunculan negara-negara “baru” dalam industri ini, namun China masih lagi berada di hadapan dengan nilai eksport pakaian berjumlah US$177 bilion. Bangladesh mencatatkan US$24 bilion, Vietnam US$17 bilion dan India US$17 bilion.
Saya hantar WhatsApp kepada anak saya, “Nanti belikan Abah baju Tommy Hilfiger buatan USA.” Dia balas secara berjenaka, “Mana nak cari buatan USA. Hehe.”
Saya balas semula, “Kalau tak ada buatan USA, nanti belikan Abah t-shirt Tommy Hilfiger buatan Malaysia!”