Mungkin ramai melihat barang-barang terbuang seperti besi buruk tidak ada kegunaanya. Tetapi bagi Wak Wagiman, dengan bahan terbuang dan kitar semula ini ia mampu mengubah kehidupannya sekeluarga. Tahun 2001, Wak Wagiman atau nama sebenarnya Wagiman Dulahabedi berjaya mencipta jentera gerabak untuk kegunaan pertanian hanya dengan menggunakan barang-barang kitar semula.
Walaupun mendapat pendidikan sehingga darjah 6 sahaja, Wak Wagiman kini dikenali sebagai inovator yang mampu membantu para peladang persendirian. Harga trak yang ditawarkan amat berpatutan dan mampu milik berbanding jentera gerabak sedia ada di pasaran.
Kini, bisnes yang telah bertapak di Johor selama 16 tahun ini telah diwarisi oleh anaknya iaitu Muhammad Nurozon Wagiman. Nuruzon akui, belia amat meminati bidang automotif dan sering meluangkan masanya di bengkel untuk mempelajari cara membaiki kenderaan.
Uniknya, 80% bahan yang digunakan untuk menghasilkan gerabak oleh usahawan berkelulusan SPM ini adalah daripada besi terpakai. Jentera serbaguna yang diciptanya hanyalah menggunakan sebuah enjin vespa, namun mampu membawa muatan seberat dua hingga tiga tan. Proses pembuatan jentera gerabak ini tidak menggunakan mesin canggih, sebaliknya lebih banyak penggunaan peralatan tangan. Nampak sedikit rumit, namun Nurozon seperti di dalam gambar, mampu menyiapkan tiga buah jentera dalam satu masa.
Lebih menarik, produk yang dihasilkannya ini boleh diubahsuai mengikut kegunaan khusus dalam sektor pertanian. Antaranya, penukaran kepada tayar besi untuk kegunaan di sawah, diubah menjadi kren untuk menarik pokok dan dipasang penggelek untuk membersihkan kebun.
Nuruzon merupakan penerima geran SUPERB berjumlah RM 500,000. Melalui inisiatif dari Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ini, Nuruzon Technology Resources Sdn Bhd telah berjaya ditubuhkan pada tahun 2015 yang turut memberi perubahan besar kepada perniagaannya.
Hasilnya, sebuah bengkel yang lebih bersistematik berjaya dibina. Selain dapat menambah pelbagai peralatan untuk membuat gerabak, syarikatnya kini turut mempunyai Prosedur Pengendalian Standard (SOP) untuk pengendalian jenteranya.
Selain geran SUPERB, Nuruzon Technology turut mendapat khidmat bimbingan dari Cradle Fund Sdn Bhd. Laman web syarikat dan media sosial seperti Facebook telah dibangunkan bagi memperluas jaringan perniagaannya serta membolehkan pemasaran gerabak secara lebih profesional dan terancang.
Menurut pemuda berusia 27 tahun ini, syarikatnya dalam proses menguji produk terbaru iaitu Jentera Membersihkan Ladang yang menggunakan penggelek seberat 1.5 tan. Jentera ini dicipta untuk memampatkan rumput serta mempercepatkan proses membersihkan kebun seluas satu ekar dalam masa satu hari sahaja.
Beliau bertekad akan terus berjuang dalam penghasilan jentera pertanian agar ia dapat dipasarkan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa. “Dengan sentuhan minda, benda yang tidak berharga ada kegunaannya”, kata-kata bapanya ini akan terus dijadikan perangsang untuknya memajukan Nuruzon Technology Resources Sdn Bhd.