Ramai usahawan mula berbisnes dengan cara betul. Bagaimanapun, di tengah jalan mereka hilang tumpuan, kurang produktif dan bisnes menjadi perlahan. Sebahagian simtom yang menggagalkan bisnes berpunca dari lima penyakit ini:
1. Menghabiskan terlalu banyak masa di internet
Mereka gagal menahan nafsu untuk semak Facebook dan Twitter sepanjang masa. Kegilaan berkongsi kesemua pergerakan di media sosial juga bukanlah sesuatu yang baik. Ada yang baru berbisnes, tetapi berkongsi tips bisnes pada setiap langkah. Buat sikit, update Facebook. Melangkah setapak, update Twitter. Oleh kerana asyik nak update tips di media sosial, akhirnya mereka hilang tumpuan kepada bisnes.
2. Mengharapkan kesempurnaan
Dunia ini tidak sempurna. Vendor tidak sempurna. Staf tidak sempurna. Sementara kita harus berusaha memberikan (dan mengharapkan terbaik), kita juga kena belajar menerima ketidaksempurnaan. Sekiranya tidak, kita akan menghabiskan banyak masa membetulkan sesuatu yang tidak mempunyai nilai tinggi kepada bisnes.
3. Mesyuarat
Apabila banyak masa dihabiskan dengan mesyuarat, kita hilang masa untuk “bekerja.” Betul, mesyuarat juga adalah “kerja,” namun dengan mengurangkan masa mesyuarat, kita mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja lain yang lebih penting.
4. Menjawab emel serta-merta
Sekarang hampir semua orang menggunakan smartphone. Bahananya ialah mesej seperti WhatsApp, emel dan SMS tiba serta-merta. Apabila kita menghadap smartphone sepanjang masa, tumpuan kita terjejas. Cara terbaik ialah menjadualkan masa membalas emel atau WhatsApp. Contoh, sewaktu rehat atau sebelah petang – kecuali ia adalah sesuatu yang mendesak. Sekiranya tidak, usah balas cepat-cepat.
5. Mengelak berhadapan dengan situasi mencabar
Walaubagaimana hebat sekali pun staf, pelanggan mengharapkan empunya bisnes sendiri menangani situasi itu. Usah lari dari tanggungjawab. Hadapi situasi tersebut walau bagaimana sukar sekali pun. Dengan cara ini, ia dapat ditangani segera dan tanpa bertangguh. Perbuatan menangguhkan berhadapan dengan situasi mencabar hanya menjadikan ia berlarutan, sekaligus menjejaskan tumpuan kita kepada bisnes.