Sewaktu di alam persekolahan, kita diajar bahawa mereka yang dapat masuk universiti adalah orang berjaya. Orang yang dapat Sarjana dianggap lebih pandai dari yang ada Sarjana Muda. Mereka yang ada PhD dikatakan lebih cerdik daripada kesemua orang lain.
Akhirnya, ramai berebut untuk nak letakkan gelar “Dr” di depan nama walaupun ia diambil dari universiti internet entah berantah.
Dalam keghairahan kita meraikan orang berjaya ini, akhirnya kita diberitahu sejumlah graduan tidak ada kerja. Mereka yang dikatakan pandai itu tidak mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri. Mereka hanya mampu berenang di dalam kolam tetapi tenggelam apabila dihumban ke lautan.
Sekarang hanya 2% graduan IPTA ceburi bisnes, berbanding 1% beberapa tahun sebelum ini. Secara bergurau saya katakan, “Itu hebat, peningkatan 100% dari 1% kepada 2%!”
Orang yang dikatakan berjaya itu hanya menunggu orang lain menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Sebaliknya, orang yang dikatakan gagal ini pula mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Saya dimaklumkan sekitar 70% usahawan di Malaysia tidak mempunyai pendidikan tertiari; dalam bahasa mudah, mereka tidak masuk universiti.
Orang yang tidak masuk universiti (dan dikatakan gagal oleh masyarakat) kini mencipta peluang pekerjaan (termasuklah kepada orang yang masuk universiti dan dikatakan berjaya itu).
Saya sebutkan soal ini untuk menggambarkan bahawa kita harus melihat semula konsep kejayaan dan kegagalan. Kita harus beralih dari proses dan output kepada outcome. Akhirnya, apakah yang kita mahu?
Begitu juga dengan keusahawanan. Selagi kita tidak mampu meraikan kegagalan, kita tidak akan berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah entrepreneurial nation. Menurut Bloomberg, 80% bisnes gagal dalam tempoh 18 bulan pertama.
Kata Pengerusi Eksekutif PTS Media Group, Puan Ainon Mohd, usah guna perkataan bisnes gagal, gunakan istilah bisnes tak menjadi. Baiklah, 80% bisnes tak menjadi dalam tempoh 18 bulan pertama.
80% adalah satu jumlah yang tinggi. Sekiranya kita terus mengamalkan budaya melanyak mereka yang gagal ini, bagaimanakah mereka akan dapat bangun kembali? Sekiranya bisnes tak menjadi, kenapa mereka harus dihukum sebagai penjenayah dan seolah-olah tidak dibenarkan untuk bangun kembali?
Benarlah kata-kata, orang yang tak berbuat apa-apa tidak akan gagal. Orang yang tidak berdiri, tidak akan jatuh.
Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, keusahawanan ialah satu idea, harapan, impian dan masa depan. Usahawan akan bersinar mata apabila bercakap mengenai masa depannya.
Walaupun berbisnes di gerai bumbung zink, usahawan melihat dirinya berada dalam gedung berpuluh tingkat berhawa dingin.
Walaupun berada di dalam terowong gelap penuh tikus, usahawan mampu merasakan diri berada di atas awan dan disinari warna-warna pelangi yang indah. Itu usahawan.
Sekiranya kita ingin membangunkan entrepreneurial nation, keseluruhan ekosistem keusahawanan itu harus berubah. Usahawan kena berubah.
Agensi pembangunan keusahawanan, termasuklah institusi pembiayaan, kena berubah. Cara kerajaan melihat apa yang disebutkan sebagai kegagalan juga kena berubah.
Sekiranya kita tidak berani meraikan dan mengambil risiko, selama itulah kita tidak berjaya.
Mari, kita raikan kegagalan. Mari, kita rayakan bisnes bungkus. Dari kegagalan ini kita belajar untuk membina sebuah harapan dan masa depan. Kita belajar dari kegagalan ini untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Kegagalan adalah pengalaman.