Hampir setahun penularan pandemik Covid-19 melanda dunia dan tiada siapa yang dapat menjangka bahawa ia akan meninggalkan kesan yang besar terhadap landskap ekonomi dunia. Malaysia sendiri antara negara yang segera bertindak dengan melaksanakan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir tiga bulan bermula 13 Mac hingga 3 Mei lalu bagi membendung penularan wabak tersebut.
Pelaksanaan PKP telah menyebabkan sektor ekonomi negara lumpuh seketika dan banyak industri dan perniagaan turut menerima kesan. Usahawan juga turut menerima tempias apabila perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Penularan pandemik Covid-19 dilihat masih tidak dapat dikawal dan pihak kerajaan masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di bbeberapa kawasan bagi membendung masalah tersebut.
Bagi mengulas lanjut mengenai kesan pandemik Covid-19 kepada usahawan secara keseluruhan, wartawan Kosmo! Ahad, Farid Ahmad Tarmiji berkesempatan mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Muhd Firdaus Azharuddin di pejabatnya di Cyberjaya, Selangor.
KOSMO! AHAD:
Sejauh manakah impak pandemik Covid-19 meninggalkan kesan terhadap usahawan?
FIRDAUS:
Pandemik Covid-19 memberi dua impak yang berbeza terhadap usahawan di mana ada yang mencatatkan jualan yang melonjak dengan begitu tinggi dan ada yang perlu menelan kepahitan apabila jualan merudum.
Pengumuman PKP yang dibuat dalam tempoh yang singkat pada waktu itu telah membuatkan usahawan terkejut dan kebanyakan tidak bersedia. Bagi usahawan yang mengikuti peredaran semasa jualan mereka dilihat meningkat lebih tinggi berbanding biasa.
Sebagai contoh usahawan dalam bidang berasaskan makanan dan minuman yang menggunakan platform digital di mana tempahan dan penghantaran boleh dilakukan secara online jualan mereka meningkat berbanding biasa.
Ini kerana sewaktu PKP dilaksanakan pengguna tidak keluar dan banyak membeli melalui platform itu. Bagi usahawan yang masih menggunakan kaedah yang lama jualan mereka ketika itu mungkin merudum.
KOSMO! AHAD:
Usahawan dalam industri apakah yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19?
FIRDAUS:
Sewaktu PKP dilaksanakan kita perhatikan antara usahawan yang terkesan adalah mereka dalam industry perkahwinan. Usahawan-usahawan dalam industri perkahwinan seperti perancang perkahwinan, jurugambar, jurusolek, katering dan lain-lain lagi hilang pendapatan pada ketika itu.
Kini usahawan dalam industri perkahwinan juga masih terjejas jika PKP dilaksanakan di sesuatu tempat. Oleh itu, kita minta kerajaan membenarkan majlis perkahwinan diadakan dalam jumlah yang terhad kerana sedikit sebanyak membantu mereka menjana pendapatan dan merancakkan kitaran ekonomi.
Selain itu, usahawan yang mengusahakan kedai gunting rambut, spa dan kesihatan dan peruncitan juga terkesan pada waktu itu.
Kini walaupun dalam tempoh untuk memulihkan kembali perniagaan mereka ini masih merasai kesannya kerana masing-masing masih perlu membayar bulanan untuk sewaan premis kerana tempoh moratorium sudah berakhir.
KOSMO! AHAD:
Apakah langkah yang perlu dilakukan oleh usahawan sendiri yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19?
FIRDAUS:
Usahawan perlu mengkaji kembali operasi perniagaaan mereka dan menyesuaikannnya mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.
Misalnya jika sebelum ini usahawan mendapat bekalan mentah dari luar negara dan menghadapi masalah penghantaran setelah pandemik ini melanda mereka boleh cuba mendapatkan bekalan ini dari dalam negara sendiri.
Selain itu, kita lihat usahawan kelengkapan haji dan umrah ada yang cepat bertindak apabila mereka menjual buah kurma serta produk-produk berkaitan agama bagi memastikan perniagaan mereka terus boleh meneruskan operasinya.
KOSMO! AHAD:
Apakah bantuan yang disalurkan oleh INSKEN dalam membantu usahawan di luar sana yang menerima tempias akibat pandemik tersebut?
FIRDAUS:
Hari kedua setelah PKP dilaksanakan apa yang INSKEN lakukan adalah dengan mengadakan Facebook Live dan juga Webinar bersama usahawan.
Kami mengadakan kelas-kelas pemasaran menggunakan platform Facebook, Whatssap, Instagram untuk usahawan cuba menggunakan kaedah ini bagi memasarkan produk mereka secara online.
Selain itu, usahawan juga didedahkan dengan kelas penulisan dan teknik mengambil gambar dengan menggunakan telefon pintar.
Hampir 300 kelas diadakan secara Facebook Live dan Webinar dan lebih 6,000 usahawan turut terlibat. Kami di INSKEN juga turut menjemput usahawan lain yang mempunyai kepakaran yang lebih dan menerangkan bagaimana cara mereka meneruskan operasi ketika berhadapan situasi tersebut.
KOSMO! AHAD:
Boleh jelaskan mengenai program yang dilaksanakan INSKEN dalam membudayakan keusahawan dalam kalangan rakyat Malaysia?
FIRDAUS:
Antara program yang INSKEN lancarkan dan laksanakan adalah kursus asas keusahawanan. Kami mahu memastikan mereka mereka menjadi usahawan yang betul dan bukan sekadar mengikut trend semasa.
Dalam tahun ini INSKEN telah mengadakan lebih 54 kelas asas keusahawanan kepada mereka yang berminat menjadi usahawan. Sebenarnya masih terdapat usahawan-usahawan yang kurang asas keusahawanan dan kami cuba melengkapi mereka dengan ilmu-ilmu yang penting. Kelas-kelas asas keusahawan ini merangkumi pelbagai cabang antaranya dari segi elemen pemasaran, jualan, ejen dan lain-lain lagi.
Kami menggunakan medium media sosial untuk mewar-warkan tentang kelas yang dianjurkan oleh INSKEN dan maklumbalas yang diterima amat baik sekali. Kelas-kelas ini walaupun kini terpaksa dianjurkan secara Webinar, tetapi penyertaanya sentiasa penuh.
KOSMO! AHAD:
Bagaimana INSKEN melihat belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini adakah ia memberi manfaat kepada golongan usahawan di luar sana?
FIRDAUS:
Belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini merupakan kesinambungan terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini dalam membantu golongan yang terjejas termasuklah usahawan.
Kita lihat sebelum ini kerajaan telah mengumumkan Bantuan Prihatin dan PENJANA serta insentif-insetif lain seperti bantuan subsidi upah dan lain-lain lagi telah membantu usahawan yang terjejas. Usahawan juga turut dibantu melalui pemberian geran khas bagi membolehkan mereka meneruskan operasi.
Apa yang penting usahawan perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan bantuan-bantuan ini sampai kepada mereka. Apa yang INSKEN perhatikan ada sebilangan kecil usahawan yang takut untuk mendaftar dengan LHDN kerana takut dikenakan cukai dan akibatnya mereka terlepas daripada menerima bantuan tersebut. Usahawan perlu faham tentang struktur percukaian dan tidak semua usahawan akan dikenakan cukai.
KOSMO! AHAD:
Apa pandangan INSKEN mengenai keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan yang memberi ruang kepada usahawan berniaga di Wilayah Bebas Berniaga?
FIRDAUS:
Dari satu sudut inisiatif ini membuka peluang kepada mereka yang terjejas sumber pendapatan untuk menjadi usahawan dan memulakan perniagaan. Tetapi apa yang menimbulkan kerisauan adalah jika ramai peniaga umpama cendawan tumbuh selepas hujan ia akan memberi kesan negatif terhadap usahawan sedia ada.
Usahawan sedia ada ini perlu membayar kos-kos operasi seperti sewaan kedai, bayaran upah pekerja dan sebagainya. Berdasarkan data hampir 65 peratus peluang pekerjaan adalah datang daripada usahawan kecil dan sederhana. Jika perniagaan mereka terjejas ini akan menyebabkan jumlah pengangguran akan bertambah.
KOSMO! AHAD:
Apakah perancangan masa hadapan yang direncanakan oleh INSKEN?
FIRDAUS:
Kami di INSKEN akan terus memberi sokongan terhadap usahawan dengan menekankan aspek pendigitalan. Usahawan harus berubah dan menggunakan sepenuhnya transformasi pendigitalan terhadap perniagaan mereka kerana ia dapat meningkatkan jualan serta mengurangkan kos operasi. Selain itu, kami juga akan sentiasa secara berterusan memberi latihan dan bimbingan kepada usahawan.
Jika sekadar latihan sahaja ia tidak mencukupi sebaliknya perlu disertakan dengan bimbingan bagi memastikan usahawan ini sentiasa berada di landasan yang betul. Usahawan-usahawan yang berjaya akan dilantik menjadi Industri Coach dalam memberi bimbingan kepada usahawan lain.