Ada usahawan gemar membuat semua perkara sendiri. Dari sekecil-kecil tugas sehingga ke tugas yang berat dipikul tanpa mendapatkan pertolongan dari pihak lain. Lebih-lebih lagi usahawan baru yang ingin menjimatkan wang. Usahawan boleh kurangkan membuat kesemua tugas supaya masa yang ada boleh digunakan untuk menjana pendapatan dan sekaligus dapat meningkatkan skala bisnes.
Mungkin usahawan boleh menganalisis dahulu antara tugas yang boleh diserahkan kepada pihak ketiga sebelum membuat sebarang keputusan. Berikut merupakan lima cadangan tugas yang boleh diberikan kepada pihak lain serta-merta untuk menjimatkan masa usahawan.
1. Akaun
Jika perakaunan bukanlah kepakaran usahawan, ini merupakan perkara utama yang perlu diserahkan kepada pihak ketiga. Jika usahawan masih melakukannya sendiri, ia akan menyukarkan perjalanan bisnes kerana banyak masa akan dihabiskan untuk membuat akaun sahaja. Melainkan, usahawan memang pakar dalam bidang perakaunan, ia digalakkan untuk membuat sendiri.
2. Penulisan
Ambil penulis profesional apabila ingin menulis siaran media, blog, website serta membuat suntingan. Sememangnya nampak seperti boleh dilakukan sendiri, tetapi tugas ini lebih elok diserahkan kepada yang lebih pakar dengan bayaran yang berpatutan. Jika sudah biasa bekerja dengan seseorang penulis, teruskan bekerjasama dengan orang yang sama jika penulisannya berkualiti. Teruskan bekerjasama dengan
3. Reka Bentuk
Reka bentuk juga merupakan perkara yang penting tidak boleh dipandang remeh. Sebagai contoh, reka bentuk logo bisnes usahawan yang memainkan peranan penting bagi menjual produk tersebut. Tidak dinafikan, rekaan logo dan sebagainya memang boleh dilakukan sendiri oleh usahawan. Namun, jika pakar dalam bidang ini melakukannya, sesuatu rekaan itu akan nampak lebih profesional, bernilai dan sesuai untuk dipasarkan di dalam industri. Rekaan yang dimaksudkan bukan sahaja logo, malah pelbagai grafik yang akan digunakan di website dan blog usahawan. Kesemua rekaan ini akan mencerminkan bisnes yang dijalankan oleh usahawan sama ada berkualiti atau pun tidak.
4. Media Sosial
Usahawan tidak perlu berinteraksi di kesemua media sosial. Jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan pelanggan melalui media sosial sehingga tidak menang tangan. Lantik satu agensi yang pakar untuk menyelenggara dan menguruskan kesemua media sosial yang usahawan ada. Cara ini bukan sahaja menjimatkan masa usahawan, malah akan memberikan kesan yang lebih efektif apabila pelanggan dapat maklum balas dengan cepat melalui adanya pakar yang sentiasa memantau media sosial.
5. Tugas Harian
Dapatkan seorang pekerja yang boleh membantu anda untuk menyelesaikan tugas harian. Tugas am yang perlu diserahkan kepada pembantu adalah seperti khidmat pelanggan, rekod inventori serta sistem data maklumat. Apabila tugas kecil seperti ini diserahkan kepada pembantu, maka usahawan boleh fokus kepada hal yang lebih rumit dalam menjana pendapatan bisnes. Senaraikan tugas yang ingin diagihkan, adakah tugas tersebut boleh dipertanggungjawabkan kepada seorang pembantu sahaja atau perlukan lebih dari seorang pembantu.
Usahawan jangan takut melabur sedikit wang untuk membayar kos upah pihak ketiga. Kurangkan beban, luangkan lebih banyak masa untuk menguruskan perkara yang lebih penting demi kelangsungan bisnes.
Tanamkan sifat kepercayaan kepada pihak ketiga supaya tugas boleh diserahkan tanpa ada perasaan ragu-ragu.