Ketika ramai yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19, lain pula dengan Aznil Putra Ahmad Rapael, 51, mengutip sehingga belasan ribu ringgit sebulan melalui perniagaan pelbagai produk patuh syariah di bawah HPA Industries Sdn Bhd. Semuanya bermula apabila beliau mengikuti kursus keusahawanan anjuran HPA Industries pada 2009 yang menarik minatnya untuk berubah angin. Pada masa itu saya diperkenalkan kepada produk halalan toyyiban yang menyentuh isu makanan was-was di pasaran hingga terdetik untuk saya bersama HPA. Namun dalam masa sama, saya masih mengajar travel programming ke seluruh Malaysia.
“Pada tahun 2012, saya nekad menjadi stokis kecil HPA dan menubuhkan syarikat Ashabul Kahfi Niaga. Ketika itu saya berpindah balik ke Pekan, Pahang untuk menjaga ibu bapa mentua yang kurang sihat,” katanya yang mengalihkan operasi syarikat di Pekan. Pada 2017 syarikat Ashabul Kahfi Niaga berkembang maju dan beliau berjaya mengumpul modal sebanyak RM15,000 untuk menjadi pengedar besar produk HPA dan pusat agensi daerah Pekan.
Bagaimanapun pada tahun 2020, perniagaannya terkesan akibat penularan Covid-19 hingga membuatkan Aznil terfikir untuk menutup kedainya.”Bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan, saya pernah terfikir untuk tutup kedai sebab tidak boleh nak bergerak. Sampai satu tahap saya kirimkan kepada kawan yang bawa van jenazah untuk hantar produk HPA yang dipesan pelanggan,” katanya. Menurutnya, kesukaran itu bagaimanapun dapat diatasi dengan mengikuti Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mulai Mac 2020 secara atas talian.
“Bila jumpa INSKEN, saya ditawarkan lapan kaedah pemasaran online dan saya memilih Shopee. Bulan pertama saya raih pendapatan sebanyak RM5,000 dan bulan kedua naik kepada RM9,000 dan bulan ketiga mencecah RM11,000. INSKEN terkejut saya berjaya dapat RM11,000 dan sekarang Alhamdulillah bertahan belasan ribu sebulan,” katanya. Dengan motto perniagaan ‘halal tanggungjawab bersama’ Aznil berharap masyarakat Islam sedar akan kepentingan penggunaan produk HPA.
“Saya tidak mahu keluarga dan saudara mara saya sakit kerana makan benda-benda yang syubhah. Ramai yang bermasalah dalam memilih produk halalan toyyiban dan tidak tahu nak ke mana. “Justeru itu, saya sedia membantu dengan berkongsi produk-produk halal, kesihatan dan kecantikan HPA. Bagi yang kurang berkemampuan, saya akan bantu dengan kaedah mengguna dan menjana pendapatan melalui bonus oleh HPA. Tujuannya saya nak semua ambil berat tentang produk yang halalan toyyiban,” katanya.
Produk HPA berdepan dengan produk tiruan di pasaran, justeru katanya, masyarakat dinasihati membelinya daripada ejen HPA yang sah sahaja. Mengimbau kisah lalu, bekas pelajar SM Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) itu bermula dengan menyambung pelajaran di Kolej Pendidikan Persediaan IU7, Institusi Teknologi Mara (ITM) selama dua tahun sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dalam bidang Sains Komputer. Menurut anak jati Bagan Datuk Perak itu, beliau kemudian berkhidmat dengan sebuah syarikat komputer selama sepuluh tahun sebaik pulang ke Malaysia.