Perniagaan Hawa Spa turut terjejas akibat pandemik Covid-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara dan ia sangat mengecewakan pemiliknya, Azizah Ibrahim. Ketika itu, wanita asal Miri, Sarawak ini mengalami tekanan perasaan yang dahsyat hingga menyebabkan beliau hampir sahaja putus asa untuk menutup perniagaan. “Pengalaman ini amat pahit untuk dilalui, saya rasakan satu tekanan kerana ketika itu sudah lebih lima bulan industri spa tidak dibenarkan beroperasi.
Macam-macam difikir untuk menyelamatkan bisnes, nak bayar gaji pekerja, sewa kedai sampailah kepada bagaimana mahu kekalkan perniagaan ini. “Ya Allah..saya bagaikan tak nampak sinar, ketika itu saya tak tahu lagi nak fikir solusinya, rasa betul-betul buntu. Sampai satu tahap saya rasa jika kena tutup operasi, tutuplah,” katanya. Menurutnya, tekanan dihadapi memaksanya mendapatkan khidmat kaunseling dengan pihak berkenaan dan di atas bantuan daripada pihak profesional, kini keadaannya lebih stabil.
Berkongsi sejarah perniagaan, Azizah memaklumkan ia bermula dengan penubuhan Zie Beauty Care pada tahun 2008. “la bermula atas galakan ibu saya, Allahyarhamah Saloma Latip yang mahu saya meneruskan legasi perniagaannya, bagaimanapun saya memilih bidang kecantikan kerana ibu saya lebih kepada perniagaan pinggan mangkuk Arcopal. “Zie Beauty Care memfokuskan bidang kecantikan wajah sahaja tetapi kerana permintaan pelanggan, kami telah menambah cabang kepada servis spa seperti urutan badan, skrub badan, mandian bunga, mandian herba, urutan ibu mengandung, urutan berpantang, tangas dan tungku.
“Kemudian perniagaan in dijenamakan kepada Hawa Spa tiga tahun lalu,” kata wanita berkelulusan ljazah Sistem Informasi dari Universiti Teknologi Petronas, Perak ini. Kata Azizah, semangatnya pernah luntur apabila ibunya yang selama ini menjadi mentor dalam hidup dan perniagaan meninggal dunia pada 2013. “Kehilangan ibu membuatkan saya rasa nak tutup operasi sebab sudah tidak ada orang yang boleh beri tunjuk ajar. Bagaimanapun mungkin dengan doa ayah dan adik-beradik serta pelanggan, operasi kedai masih beroperasi malah kini semakin berkembang. “Tanpa ibu, saya kuatkan hati untuk belajar dan teruskan berdoa,” katanya yang mempunyai lima pekerja.
Menurutnya, bimbingan di bawah Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Postnatal aniuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), perniagaannya kini bertambah maju hingga memerlukan pertambahan dua kakitangan baru. “Alhamdulillah operasi spa pun semakin baik dan lancar. Sebelum ini saya ada tiga pekerja, tetapi selepas menyertai Program IBBC, Hawa Spa menambah dua lagi kakitangan. Sekiranya pandemik berlaku lagi, insya-Allah Hawa Spa sudah dapat bersedia,” katanya.
Anak sulung dari empat beradik ini berkata, Hawa Spa mempunyai pelbagai pakej yang ditawarkan kepada pelanggan. “Harganya bermula dari RM 139 dan pakej ini merangkumi ikhtiar hamil, haid tidak teratur, migrain, penutup pantang, spa pengantin dan spa berpantang. Kami juga beri pendedahan kepada wanita yang mempunyai anak berusia setahun, mereka akan menerima penutup pantang. “Pakej kami fokus kepada masalah wanita, bahkan Hawa Spa mempunyai kerjasama dengan klinik bertauliah. Kami akan merujuk doktor sebelum memberikan rawatan kepada pelanggan.” katanya. Kata Azizah, beliau merancang melebarkan lagi sayap perniagaan ke sekitar Sarawak dengan menghasilkan produk kesihatan sendiri termasuk menambah cawangan di Bintulu, Kuching, Mukah dan Kota Samarahan.