Ramai orang memulakan bisnes dari rumah. Itu cara mudah dan murah. Kita tak perlu keluarkan modal yang besar. Dan, ia boleh dilaksanakan bila-bila masa saja.
Bagaimanapun, sekiranya tidak diuruskan dengan betul, bekerja dari rumah boleh timbulkan ketegangan dalam keluarga – bagi yang berumahtangga. Apakah yang boleh dilakukan bagi mengharmonikan bisnes dari rumah?
1. Adakan “waktu bekerja” yang tetap
Pastikan keluarga memahami waktu ini dan menghormatinya. Contohnya, waktu bekerja kita ialah antara 9 pagi sehingga 6 petang. Sepanjang waktu ini, tumpuan kita ialah bekerja. Isteri / suami dan anak-anak usah ganggu. Ini bukan waktu untuk pergi shopping, menyiram bunga atau basuh kereta – walaupun kita ada di rumah. Bagi ibu yang memasak atau menghantar anak ke tadika, lakukanlah aktiviti itu pada “masa rehat” (bekerja di rumah juga perlu ada coffee break dan lunch time!) Sekiranya kita tak mampu berdisplin sebegini, bisnes dari rumah tak sesuai untuk kita.
2. Wujudkan “ruang bekerja” di sudut rumah
Bagi rumah yang besar, boleh adakan ruang bekerja ini dalam bilik tertutup. Dengan cara ini kita ada privasi untuk bekerja. Sekiranya rumah kita kecil, adakan sudut khas sebagai “ruang bekerja.” Apabila bekerja di ruang ini, kita pisahkan ruang bekerja dan ruang rumah, walaupun kita di bawah satu bumbung yang sama.
3. Pisahkan peralatan rumah dan peralatan pejabat
Elakkan menggunakan peralatan pejabat untuk buat kerja rumah. Apabila anak-anak menggunakan stapler, pen atau kertas untuk urusan rumah, seringkali peralatan itu tidak dikembalikan ke tempatnya semula. Ini boleh menyebabkan kita tertekan apabila memerlukan barang-barang tersebut tetapi ia tidak berada di tempatnya. Dan, ia juga boleh menimbulkan ketegangan yang tidak perlu dalam keluarga.
4. Asingkan akaun kewangan pejabat dan rumah
Kesilapan paling besar yang sering dilakukan ialah mencampuradukkan kedua-dua perbelanjaan ini. Sediakan dua akaun simpanan dan tunai yang berbeza, satu untuk keluarga dan satu lagi untuk bisnes. Usah gunakan belanja bisnes untuk beli barangan dapur. Begitu juga sebaliknya.
5. Reimburse perbelanjaan keluarga
Untuk mendapatkan kos sebenar operasi bisnes, kita perlu reimburse atau bayar balik perbelanjaan rumah yang digunakan oleh bisnes. Walaupun kita bekerja dari rumah, kos operasi pejabat bukan percuma. Tetapkan satu jumlah, dan pastikan bisnes membuat bayaran itu bagi operasi pejabat dari rumah. Katakan, kos operasi pejabat ialah RM2,000 sebulan (bagi sewaan ruang, pendingin hawa, elektrik dan lain-lain), masukkan itu sebagai kos bisnes dan buat pembayaran itu kepada akaun keluarga, sama seperti kita membayar kepada vendor luar.