Kata Jack Ma, pengasas AliBaba dan antara orang paling kaya di dunia:
Sewaktu usia 20an, belajar dan adalah sangat OK untuk buat salah. Belajar dari kesalahan itu.
Pada usia 30an, bekerja dengan syarikat kecil. Di syarikat kecil, kita belajar banyak perkara. Dari membuka pintu pejabat atau kedai, sehinggalah bagaimana membuat pembayaran gaji dan menguruskan syarikat.
Apabila sampai usia 40an, pilih bos dan belajar dari bos tersebut.
Mencecah usia 50an, mulakan bisnes. Ketika itu kita sudah banyak buat salah dan belajar dari kesalahan itu, sudah belajar operasi syarikat dan sudah belajar menjadi bos.
Apabila 60an, buat pelaburan yang besar dengan anak muda. Latih dan berikan mereka peluang. Mereka adalah enjin kepada bisnes. Mereka ada tenaga dan kesungguhan.
Ada orang kata, kenapa nak kena tunggu 50 tahun baru nak mula bisnes. Betul, tak perlu tunggu 50 tahun nak bermula. Usia apa pun, boleh berbisnes.
Cuma saya nak katakan bahawa usia 50an bukanlah sudah terlewat untuk nak berbisnes. Purata usia orang berbisnes di Amerika Syarikat ialah 55 tahun, mereka lebih berjaya dan purata nilai bersih mereka ialah US$4 juta.
Sekitar 52% bisnes di Amerika Syarikat dimulakan oleh usahawan sewaktu mereka berusia 45 hingga 64 tahun (2014). Betul, ia lebih dari separuh.
Raymond Kroc mengasaskan McDonald’s pada usia 52 tahun. John Pemberton memulakan bisnes Coca-Cola tatkala berumur 55 tahun. Dan, Colonel Harland David Sanders mengasaskan KFC pada umur 66 tahun.
Di Malaysia, kita sudah tak mahu berbuat apa-apa pada usia sebegini. Ada yang kata, sekarang nak duduk rumah saja. Sedangkan pengalaman, jaringan, ilmu dan kemahiran yang kita ada adalah aset yang paling bernilai untuk memulakan bisnes.
Nah, tunggu apa lagi?