Sekiranya kita ingin usahawan Malaysia menerokai pasaran global, kita harus menjadi bangsa peneroka. Kita harus mengembara dan menerokai pasaran baru. Kita harus berani menempuh ombak dan duri merempat di negara orang.
Iqaluit ialah sebuah bandar dalam wilayah Nuvanut yang terletak di utara Kanada, Pada bulan paling panas iaitu Julai, suhunya setakat 9 darjah Celcius, manakala ketika Januari iaitu bulan paling sejuk, suhu di Iqaluit ialah -29 darjah Celcius.
Ia mempunyai penduduk sekitar 7,000 orang, menjadikannya bandar paling sedikit penduduk di Kanada. Daripada jumlah itu, ada 100 orang Islam di Iqaluit dan baru-baru ini mereka telah membina sebuah masjid di situ. Apa yang menarik, terdapat warga Bangladesh di situ.
Selain masyarakat China dan India, warga Bangladesh kini menjadi bangsa peneroka di kebanyakan tempat di dunia ini. Mungkin, punca utama ialah desakan hidup. Namun, apabila mereka menjadi bangsa peneroka, rakyat Bangladesh mengumpul pengalaman hidup global.
Pengalaman inilah yang membuka minda mereka untuk melihat pasaran bisnes yang lebih besar. Di kebanyakan gedung membeli-belah di Amerika Syarikat dan Eropah, pakaian keluaran Bangladesh cukup banyak. Mungkin kita berhujah bahawa puncanya ialah kos pengeluaran yang rendah. Betul, namun itu bukanlah satu-satu alasan.
Sekiranya kita ingin usahawan Malaysia menerokai pasaran global, kita harus menjadi bangsa peneroka. Kita harus mengembara dan menerokai pasaran baru. Kita harus berani menempuh ombak dan duri merempat di negara orang.
Apabila kita hidup di perantauan, minda keusahawanan kita akan bergerak pantas. Di Amerika Syarikat, imigran dikatakan dua kali ganda berkecenderungan memulakan bisnes berbanding warga tempatan. Saya fikir hal yang sama juga betul di Malaysia.
Di California, 36% bisnes dimiliki oleh imigran. Selain negeri itu, New York dan New Jersey juga mempunyai tumpuan imigran yang tinggi di Amerika Syarikat.
Kita banyak berjalan ke luar negara. Bagaimanapun, kebanyakan perjalanan kita itu adalah untuk libur. Apabila penat bekerja, kita pergi bercuti. Adalah tidak salah berbuat demikian. Namun, sekiranya kita ingin menerokai pasaran luar, kita harus berubah.
Bangsa Malaysia harus mulai mengembara dan hidup di perantauan. Ketepikan kesenangan seketika. Buang kemewahan sementara. Berjalan dan terokai pasaran antarabangsa. Kita mungkin tidak mampu mengeksport berkontena barang pada masa ini. Itu tak mengapa.
Kita belajar bagaimana orang China dan India membangunkan bisnes di luar negara. Mereka tidak memulakan dengan buat pejabat besar-besaran. Mereka bermula secara kecil-kecilan. Itu lebih mudah dan tidak membebankan.
Pendekatan ini mungkin nampak “lekeh” di mata sesetengah kita. Namun, dengan cara inilah mereka mula menguasai ekonomi tempatan di mana mereka merantau. Sekarang, imigran China di Amerika Syarikat menghantar pulang sekitar US$60 bilion setahun ke negara asal.
Saya percaya rakyat Malaysia juga ada kemampuan sedemikian. Apa yang kita perlu lakukan ialah bermula. Dan, sekarang ialah masa terbaik untuk memulakannya!