Memulakan bisnes memang sesuatu yang mencabar. Tidak dinafikan, setiap usahawan sudah berjaya sememangnya menghadapi situasi rasa takut ketika ingin memulakan bisnes dahulu. Kunci kejayaan usahawan adalah dengan mengatasi rasa takut tersebut mengikut beberapa faktor.
PERCAYA PADA DIRI SENDIRI
Apabila usahawan sudah menguasai corak pasaran di Malaysia, percayalah pada diri anda sendiri. Yakinlah anda pasti boleh lakukannya. Tiada siapa boleh menghalang seorang usahawan meneruskan cita-citanya. Anda sendiri yang berhak membuat keputusan untuk berjaya atau sebaliknya. Masa depan anda terletak pada diri sendiri. Jadi, usah percaya pada orang lain. Letakkan kepercayaan pada diri sendiri dan jangan mudah mengalah.
KAJIAN
Buatlah kajian secara menyeluruh mengenai industri yang dipilih. Pastikan anda telah kuasai keperluan industri secara spesifik supaya anda lebih yakin untuk mulakan bisnes. Pelbagai kajian boleh dilakukan seperti membaca buku keusahawanan, mencari maklumat di laman web serta melibatkan diri dalam forum keusahawanan dan sebagainya.
SENARAIKAN MATLAMAT
Senarai dan tulis matlamat yang anda ingin capai dalam bisnes. Seterusnya, kenalpasti pasti cabaran yang bakal dihadapi dan apakah cara untuk laksanakan matlamat tersebut satu persatu. Lagi elok, tampal kesemua matlamat anda di dinding supaya lagi bersemangat untuk anda menggapai impian itu.
SOKONGAN DARI USAHAWAN
Orang biasa kemungkinan besar tidak memahami apa yang dialami oleh setiap usahawan. Usahawan sesama usahawan perlu sentiasa menyokong antara satu sama lain. Jika tidak ada masa untuk berjumpa secara berdepan, gunakan media sosial untuk berinteraksi sesama usahawan. Usahawan perlu bantu usahawan. Hanya usahawan yang faham hiruk pikuk kehidupan usahawan.
SEBAB ANDA INGIN BERBISNES
Ingat dan sentiasa ingat mengapa anda ingin berbisnes dahulu. Anda perlu ingatkan diri sendiri apa yang anda ingin capai dan apa yang anda ingin ubah demi masa depan lebih cerah. Fikirkan tentang peluang lebih baik yang bakal anda terima jika berbisnes. Cara ini bukan sahaja dapat menghilangkan keraguan usahawan, malah mampu meningkatkan keyakinan diri. Sebagai usahawan, anda yang berusaha untuk sampai ke tahap ini. Jadi jangan cari alasan untuk berhenti setakat ini sahaja. Teruskan!
MENERIMA RISIKO
Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang berani menanggung risiko. Apabila ingin mulakan bisnes, perkara asas yang perlu usahawan tahu adalah risiko dalam bisnes. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam bisnes. Ada yang positif dan ada yang negatif. Sebagai usahawan, anda hanya perlu bersedia dari peringkat permulaan bisnes lagi.
PART-TIME
Jika rasa masih belum bersedia untuk mula bisnes sepenuh masa, lakukannya secara ‘part-time’. Gunakan masa terluang pada hujung minggu atau waktu malam untuk membina strategi bisnes anda. Buat kajian mengenai industri perniagaan yang ingin diceburi. Luangkan masa berjumpa pakar-pakar bisnes untuk menuntut ilmu bisnes dan bertukar pendapat. Bila rasa sudah bersedia, inilah masanya untuk berbisnes sepenuh masa!
BERTENANG DAN REHATKAN MINDA
Tidak dinafikan memang terlampau banyak maklumat yang dikongsi dari pelbagai pihak tentang bisnes. Kadang-kala sehingga tidak tahu yang mana satu perlu dipraktikkan. Jika timbul masalah ini, ambil masa untuk berehat dan tenangkan minda. Jika ada bajet, pergi bercuti. Dalam masa yang sama, boleh rehatkan badan setelah bertungkus lumus membuat persediaan bisnes dan jadi lebih produktif setelah habis bercuti. Kesannya nanti, anda boleh melakukan keputusan dengan bijak apabila minda sudah kembali tenang dan terus mulakan bisnes!