Saya seronok lihat anak-anak muda berbisnes. Mereka ada tenaga dan kesungguhan. Bagaimanapun, anak muda kurang pengalaman. Mereka berbisnes “pakai terjah” saja.
Ada kala, saya (dan orang lain yang lebih dewasa) berasa “turn off” atau kurang minat berurusan dengan anak-anak muda sedemikian. Kesemua ini, berpunca dari gaya komunikasi amatur dan kebudak-budakan.
Bagaimanakah untuk berkomunikasi dengan pelanggan supaya kelihatan profesional?
1. Gunakan gelaran yang baik
Awak mungkin muda, tetapi saya bukan kawan awak. Maka, tak perlulah berawak-awak dengan saya. Elok panggil “tuan” atau “puan.” Atau sekurang-kurangnya, “Encik” atau “Cik.” Sekiranya bakal pelanggan menghubungi anda melalui media sosial, semak profil atau posting mereka. Di situ ada latarbelakang mereka. Walaupun saya tak pernah dapat anugerah yang besar-besar, namun apabila dipanggil “Datuk,” atau “Tan Sri,” saya kembang juga!
2. Buat website untuk paparkan pengalaman dan portfolio
Ramai gunakan print screen WhatsApp sebagai testimonial pelanggan. WhatsApp boleh dipalsukan. Gunakan testimonial melalui video. Minta pelanggan rakamkan testimonial melalui smartphone dan upload video tersebut di website. Oh ya, elakkan testimonial dari adik-beradik dan sahabat terdekat.
Gunakan website untuk paparkan portfolio kerja. Bagaimanapun, pastikan pelanggan beri kebenaran untuk anda paparkan hasil kerja anda yang menjadi hak mereka. Usah paparkan sesuatu yang menjadi hak pelanggan tanpa kebenaran mereka, walaupun itu hasil kerja anda.
3. Usah memaksa dan mengugut
“Sekiranya awak tak buat deposit ini sebelum pukul 5 petang ini, saya tak akan mulakan kerja ini. Saya kena dahulukan pelanggan lain yang sudah lama beratur dan menunggu.”
Ek, eleh.
Sekiranya anda perlukan deposit atau bayaran tertentu, kemukakan inbois kepada pelanggan. Dalam inbois itu, letakkan terma sewajarnya. Jika anda mesyaratkan 50% deposit, tuliskan dalam inbois itu. Biar pelanggan buat keputusan. Usah ugut-ugut.