1. Kita disaran untuk urus bisnes gaya korporat. Secara prinsip, saya setuju. Bagaimanapun, apabila diperhalusi ada banyak perkara yang boleh disanggah.
2. Sekiranya gaya korporat itu bermaksud membawa masuk kakitangan pengurusan profesional agar bisnes diuruskan secara sistematik, itu saya sokong.
3. Tetapi, sekiranya gaya korporat itu bermaksud usahawan mesti berfikir dan bertindak dengan gaya sedemikian, itu saya bantah.
4. Naluri usahawan berserabut. Cara fikir mereka berselerak. Mungkin dengan keberselerakan itu, maka mereka tidak dikongkong oleh cara berfikir dalam kotak tertentu. Ini menjadikan mereka kreatif dan berani ambil risiko.
5. Usahawan ialah orang yang terjun kapalterbang tanpa parachute. Selepas terjun baru dia fikir di mana nak cari parachute.
6. Ada perkara yang tidak dapat disokong oleh logik angka. Saya pernah jumpa seorang usahawan tersohor (perolehan tahunan mencecah billion) yang keliru dengan peratus. Orang tanya lain, dia jawab lain. Usahawan ini bukan sekadar tidak faham logik korporat, malah tidak ambil kisah pun dengan logik-logik orang makan gaji.
7. Kegilaan sedemikian menjadikan dia berani ambil risiko gila-gila. Orang korporat bercakap mengenai “calculated risk” – dan oleh kerana terlalu berkira, akhirnya tak berani ambil risiko.
8. Orang korporat ialah orang yang masih berbahas mengenai design dan warna parachute sedangkan kapalterbang telah pun berlepas.
9. Dalam keusahawanan, “bodoh” ada kala boleh jadi aset. Ramai orang “bodoh” yang kaya-raya. Kebodohan usahawan ini tidak difahami oleh orang korporat. Sebab itulah ada masa staf (orang korporat) tak faham logik usahawan, dan usahawan juga tak faham rasional staf.
10. Nak uruskan bisnes, berikan kepada orang korporat. Biar mereka buat “number crunching,” design PowerPoint dan carta berwarna-warni, bercakap mengenai “big ticket items” dan “low hanging fruit.”
11. Usahawan usah jadi orang korporat!