Terdapat banyak persamaan antara sebuah perniagaan menghadapi masalah ‘survival’ dan seorang yang telah melalui kemalangan ngeri. Mangsa kemalangan kemungkinan besar mengalami pendarahan di samping patah tulang yang mungkin memerlukan pembedahan. Oleh itu, tugas utama doktor bilik kecemasan adalah memastikan bahawa mangsa tersebut dapat diselamatkan. Sekiranya pendarahannya tidak dapat dihentikan dan mangsa mengalami pendarahan sehingga membawa maut, keperluan pembedahan membetulkan tulang tersebut tidak lagi wujud.
Begitu juga dengan perniagaan yang tenat, seperti mangsa kemalangan, sepastinya mengalami ‘pendarahan’ dalam bentuk wang tunai yang boleh membawa ‘maut’ kepada perniagaan tersebut kalau tidak dihentikan sebagai satu keutamaan. Bila kita bersedia mengubah hala tuju perniagaan daripada tenat kepada berjaya, kita perlu bermula dengan menstabilkan perniagaan sebelum membuat apa-apa perubahan. Sepertimana doktor kecemasan perlu membuat keputusan-keputusan sukar untuk menyelamatkan nyawa mangsa, kita juga perlu membuat keputusan-keputusan sukar dan kita tidak pernah perlu buat sebelum ini.
Bagaimanakah cara untuk menghentikan pendarahan dalam perniagaan? Seperti doktor dua langkah perlu di ambil: Hentikan pendarahan; dan dapatkan tranfusi darah baru. Antara cara-cara cepat untuk berbuat demikian ialah mengurangkan perbelanjaan, merunding semula semua bayaran kepada pembekal dan menambah baik kutipan.
Proses pengurangan perbelanjaan bermula dengan pemilik perniagaan mengambil kawalan penuh akaun perniagaan serta merta. Tiada siapa boleh membuat apa-apa perbelanjaan tanpa kebenaran kita. Kita seterusnya perlu meneliti semua perbelanjaan perniagaan. Senaraikan semua jenis perbelanjaan dan klasifikasikan kepada:
- Perbelanjaan merupakan satu keperluan kepada perniagaan.
- Wujud kesan negatif secara langsung atau tidak langsung kepada perniagaan sekiranya dicantas.
- Perbelanjaan ini membawa pulangan setimpal dengan kos.
Cantas semua jenis perbelanjaan tidak memenuhi tiga kriteria tersebut. Berikan kepentingan perbelanjaan yang memenuhi ketiga-tiga kriteria tersebut, kedua kepada yang memenuhi lebih dari satu dan seterusnya.
Semak keperluan tenaga pekerja. Kurangkan pekerja ke hanya kerja-kerja teras kepada operasi perniagaan. Perbincangan terbuka kepada pekerja sangat penting untuk memastikan mereka tahu keperluan aktiviti pengurangan kos tersebut. Ini akan memberikan peluang kepada pekerja membuat pilihan sama ada bersama menyokong usaha menyelamat perniagaan atau mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Kebanyakan usahawan akan mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan atau terus mencantas bayaran gaji mereka. Ini adalah sesuatu tidak patut dilakukan kerana pemilik perniagaanlah yang menanggung risiko perniagaan dan usaha kita sebagai pemilik perlulah diambil kira. Cuma dalam keadaan mendesak, gaji pemilik perlu dikira tahap keperluan sahaja dan kenaikan gaji yang berbaloi diberi kepada diri bila sudah mengubah prestasi perniagaan.
Runding semula pembayaran hutang dalam mengurangkan dan menguruskan pendarahan keluar wang tunai. Jangan ambil tindakan untuk lari daripada membuat pembayaran. Lebih elok untuk berhadapan dengan pembekal dan insitusi kewangan. Dengan berhadapan dengan mereka kita akan menjaga nama baik perniagaan dan memastikan kepercayaan atas kita tidak terjejas.
Langkah seterusnya; melihat bagaimana untuk menambah baik dan mempercepatkan masukkan tunai. Analisa bayaran belum terima, stok belum terjual dan harta (aset) perniagaan tidak kritikal. Buat kutipan hutang-hutang belum diterima dengan agresif. Runding semula syarat pembayaran dengan memberikan diskaun untuk pembayaran awal. Usahakan jualan stok-stok pada harga yang dapat menampung kos stok tersebut. Lupuskan apa-apa aset yang tidak kritikal kepada perniagaan. Matlamat penting langkah ini adalah untuk mendapatkan transfusi tunai. Jangan sekalipun terjebak mendapatkan pembiayaan daripada Ah Long kerana kos pembiayaan sebegini akan menjadikan keadaan lebih parah pada masa jangka pendek.
Perkara paling penting, janganlah membazir masa pada saat genting ini digunakan mencari salah atau punca keadaan. Lebih penting untuk mengambil langkah-langkah agresif untuk mengangani keadaan kritikal ini dengan kadar secepat mungkin menstabilkan perniagaan sebelum mengambil langkah seterusnya untuk menambah baik keadaan.