Demi mencari wang tambahan bagi menampung kos rawatan kucing dan ringankan beban keluarga, seorang penuntut Politeknik kini sudah meraih komisen hampir RM20,000.00 hanya dalam beberapa bulan selepas serta Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). Nurul Anisah Kamarudin, 20, dari Ipoh, Perak menikmati komisen tinggi hasil menjual iPhone secara ansuran.
Saya sertai Program DNA sebab duit PTPTN saya selalu dihabiskan untuk merawat kucing-kucing di rumah yang selalu sakit. Jadi ia membuatkan saya sering tidak cukup duit dan berfikir macam mana nak beli benda lain jika kucing berterusan sakit.
“Suatu hari saya terlihat iklan Program DNA di Instagram dan selepas membuat pertimbangan saya mula jual iPhone sejak September tahun lepas,” katanya. Nur Anisah berkata, hanya dua pelanggan yang membeli iPhone pada bulan pertamanya. Namun jualannya naik mendadak hanya selepas mengikuti Program DNA anjuran INSKEN selama dua hari pada Oktober lalu dan mempraktikkan ilmu yang diajar. “Suatu hari pensyarah mencari siapa yang mahu mengikuti program DNA, ia ditaja oleh pihak Politeknik.
Jadi saya daftar program tersebut dengan kawan-kawan lain. Dalam program DNA, saya berikan fokus sepenuhnya sebab apa yang disampaikan sangat menarik. Semua yang diajar saya buat catatan. Pada hari saya menyertai program, dengan gunakan teknik yang sama seperti apa diajar coach, saya dapat closed dua pembeli. Dalam bulan yang sama jualan saya naik kepada sembilan pembeli, kata pelajar dalam bidang Diploma Peruncitan dari Politeknik Sultan Azlan Shah ini.
Pelajar yang baru menamatkan semester dua itu berkata, jualannya terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 12 pembeli pada November dan naik kepada 21 pembeli bagi bulan Disember. Cuma
bulan ini (Februari) disebabkan sibuk menghadapi peperiksaan, saya tak dapat nak fokus kepada jualan, tetapi Alhamdulillah Januari lalu saya dapat 16 pembeli,” katanya yang menerima komisen hampir RM20,000.00 hasil keseluruhan jualan setakat kini.
Jelas Nur Anisah, dalam Program DNA beliau didedahkan kaedah memasarkan produk di Facebook menggunakan marketplace, cara posting dan follow up pelanggan. “Mengikuti perkembangan pelanggan sangat berguna dan membantu menaikkan jualan. Sebelum in saya tak pandai cara nak follow up pembeli dan cara untuk beri maklum balas. “Namun selepas masuk Program DNA, saya boleh dapatkan pembeli dengan mudah secara follow up. Program ini juga mengajar saya cara untuk buat ayat promosi. Sebelum ini saya gunakan ayat panjang. Tetapi di dalam Program DNA, saya diajar buat ayat yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek tetapi padat. Jadi orang tidak akan bosan membaca. Bahkan di INSKEN, peserta dilatih untuk mengawal mindset supaya tidak lemah semangat dalam perniagaan.” katanya yang tidak lagi menggunakan duit PTPTN di luar keperluan menuntut ilmu.
Jelas Nur Anisah, selain mencari pendapatan, perniagaan baginya adalah untuk membantu memudahkan urusan pelanggan mendapatkan apa yang dinginkan. Seperti saya jual iPhone secara ansuran, jadi saya nak bantu khususnya pelajar yang tiada slip gaji, yang nak beli iPhone tetapi tiada duit tunai. “Dengan jualan iPhone secara ansuran ini, saya dapat bantu mereka miliki gajet itu walaupun masih lagi belajar. Setakat ini kebanyakan pelanggan saya ialah pelajar, suri rumah dan pekerja,” katanya.
Nur Anisah berkata, perancangannya selepas ini ialah mengumpul wang simpanan RM10,000.00 untuk masa depan termasuk membantu ibu dan bapanya mengerjakan umrah serta membantu adik-adik yang masih belajar. Anak keempat daripada tujuh beradik itu bercita-cita meniadi usahawan berjaya suatu hari nanti dan katanya, apa pun status kita, ia bukan perkara mustahil untuk berjaya asalkan minda perlu sentiasa berfikiran positif.